LAPORAN portal berita Harian Metro
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@nstp.com.my


BEKAS Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak disambung reman tiga hari lagi bagi membantu siasatan kes video seks sejenis dikaitkan dengan seorang menteri.

Turut disambung reman bagi tempoh sama dua lagi individu ditahan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, keempat-empat individu terbabit disambung reman hingga Selasa depan.

“Haziq bersama Farhash bersama dua lagi yang ditahan sebelum ini masing-masing disambung reman bermula esok hingga Selasa.

“Pagi tadi, polis menahan seorang lelaki di Shah Alam namun dibebaskan selepas diambil keterangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sebelum ini berkata, dalang di sebalik pembikinan dan penyebaran video seks dikaitkan dengan seorang menteri sudah dikenal pasti.

Setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menafikan terbabit dalam penyebaran klip video itu dan menggesa Datuk Seri Azmin Ali meletak jawatan sekiranya terdapat bukti terhadapnya.

Berita berkaitan

Pengerusi PKR negeri direman kes video lucah

Reman Haziq Abdullah kekal

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 7:22 PM