ANWAR bercakap dengan media selepas selesai sesi taklimat Anjakan Paradigma: Persepsi Rakyat Kepada Keadilan dan Kerajaan Malaysia pada Program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan berlaku pergaduhan di dalam parti itu seperti dalam laporan media sebelum ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan ahli parti perlu bersatu.

“Saya tengok banyak tak betul laporan, dia (Tun Dr Mahathir) kata dalam kalangan PH (Pakatan Harapan) mesti kukuh, tapi mereka (media) kata bergaduh dalam PKR.

“Saya diminta dengan dulu (pandangan) hari ini, esok baru saya komen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi Ucaptama Presiden Parti pada Program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat Sesi 2018/2021 di Port Dickson, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir yang menggesa semua pimpinan parti komponen PH supaya tidak berterusan bertelagah sesama sendiri.

Program selama tiga hari yang bermula semalam itu memberikan peluang kepada pimpinan parti untuk menyuarakan pandangan dan pendapat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau tidak akan memberi sebarang kenyataan sehingga majlis berkenaan selesai, esok.

“Saya dinasihatkan untuk dengar pandangan mereka (pimpinan parti) sampai habis (program temurapat) baru buat ulasan.

“Semua pun (pimpinan parti) boleh beri kenyataan tetapi tidak hari ini, bagi selesai dulu,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata, meskipun ada mengatakan Naib Presiden, Tian Chua dan Dr Xavier Jayakumar tidak akan hadir, namun mereka hadir dan sudah memberikan ucapan menerusi program itu hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 2:05 PM