Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


SYARIKAT Air Negeri Sembilan (SAINS) akan menghantar dua lori tangki masing-masing berkapasiti 2,000 gallon bagi menampung keperluan pengguna Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ia susulan penutupan loji rawatan air (LRA) utama di Selangor kerana pencemaran bau yang berpunca daripada kawasan Sungai Liam, Batang Kali, Kuala Selangor.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS Norzita Ismail berkata, bantuan itu untuk menampung proses pengagihan bekalan air di kawasan terjejas.

“SAINS akan sama-sama membantu rakan Air Selangor dalam membuat pengagihan bekalan air ke kawasan terjejas di sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat yang membabitkan 1,166,842 akaun.

“Usahasama ini adalah selaras dengan Memorandum Persefahaman Antara Operator di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

SAINS berharap usaha itu dapat mengurangkan beban pengguna dan membantu Air Selangor.

Semalam dilaporkan 1,133 kawasan membabitkan 1,166,842 pemegang akaun di ibu negara dan Selangor akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pencemaran bau di Sungai Selangor.

Berita berkaitan

1.1 juta pengguna putus bekalan air

Sungai Liam yang jadi punca

Tak pasti bila gangguan air pulih

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 1:16 PM