Dr Mahathir bersalam dengan tetamu yang hadir pada Program Temurapat MPN PKR di Port Dickson, hari ini. Foto Iqmal Haqim Rosman
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


“URUSAN dia, bukan urusan saya,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika diaju soalan ketidakhadiran Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021 di Port Dickson, malam tadi.

Jawapan spontan dalam bahasa Inggeris itu dijawab Dr Mahathir sejurus meluangkan masa menyampaikan ucapan dalam sesi khas selama sejam.

“His business, not my business,” katanya ketika ditemui media.

Mohamad Azmin tidak hadir di hari pembukaan program berkenaan walaupun bakal menyampaikan ucapan pada hari kedua, esok.

Ketika mengulas mengenai kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador mendakwa pemimpin parti politik dikenal pasti menjadi dalang melakukan pakatan jahat merakam dan menyebar video hubungan songsang dikaitkan dengan Haziq Abdullah Abdul Aziz, Dr Mahathir bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“No comment (tiada komen),” katanya.

Abdul Hamid semalam dilaporkan berkata, pihak menghasilkan video itu menerima upah ratusan ribu ringgit, bertujuan mengaib dan menjatuhkan maruah individu tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 10:24 PM