FOTO hiasan
BERNAMA

JABATAN Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah mempelawa gadis menyertai pertandingan ‘Musang Berjanggut’ sempena Temasya ‘Oghang’ Kedah yang akan berlangsung pada 25 hingga 27 Julai depan di Dataran Sungai Korok, Jitra.

Pengarah JKKN negeri, Mohd Rizal Ismail berkata, pertandingan itu hanya terbuka untuk ‘anak dara’ sahaja kerana ia di adaptasi daripada filem ‘Musang Berjanggut’ lakonan mantap seniman Tan Sri P Ramlee dan seniwati Saadiah.

“Dalam filem itu, P Ramlee melakonkan watak putera raja mengembara mencari pasangan hidup dengan membawa karung berisi beras dan pelbagai rempah ratus sebagai ujian kepada setiap anak dara ditemuinya dalam usaha mencari calon isteri.

“Konsep pertandingan ini sama, peserta perlu mengasingkan barang-barang dalam karung dalam tempoh 30 minit dan pemenang akan dikira daripada aspek kesempurnaan kerja, ketelitian, kebersihan hasil dan penampilan diri,” katanya kepada Bernama di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata, selain berhibur, pertandingan seumpama itu turut memberi pengajaran bahawa kesabaran, ketelitian, ketahanan minda serta keupayaan berfikir di luar kotak akan memberi kejayaan buat seseorang itu.

Katanya selain itu, pelbagai pertandingan menarik diatur sempena temasya berkenaan termasuklah sukan rakyat seperti sepak raga bulat, Badang (ujian kekuatan), gusti lengan kampung, memancing, nyanyian kerohanian dan membuat kolaj serta mewarna untuk kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 9:54 PM