Foto hiasan
Aizat Sharif dan Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


WANITA kerugian RM600 selepas terpedaya dalam urusan jual beli telefon bimbit menerusi satu aplikasi menjual dan membeli barangan terpakai dalam talian pada Ahad lalu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Perlis Superintendan Md Nor Daud berkata, ketika kejadian mangsa yang sedang berada di tempat kerjanya di Ayer Hitam, Kedah melayari aplikasi berkenaan pada jam 10 pagi.

“Mangsa kemudiannya tertarik dengan tawaran seunit telefon bimbit berjenama yang diiklankan seorang wanita pada harga RM600.

“Mangsa menghubungi wanita itu sebelum dia diminta memasukkan sejumlah wang ke satu akaun bank ini sebagai tanda bersetuju untuk membeli telefon berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Md Nor berkata, suspek kemudiannya gagal dihubungi dan telefon bimbit itu juga tidak diterima mangsa.

“Dia yang berasa tertipu datang ke balai polis petang semalam bagi membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Pihak polis kini sedang giat mengesan suspek,” katanya.

Berdasarkan siasatan awal, Md Nor berkata, suspek dipercayai menyamar apabila menggunakan gambar anggota polis itu pada profil aplikasi berkenaan.

“Tindakan berkenaan adalah untuk meyakinkan mangsa untuk membeli barangan yang dijual.

“Kita percaya gambar sudah disalah guna dan suspek berkemungkinan memuat turun dari media sosial yang lain,” katanya.

Difahamkan, anggota polis wanita berkenaan yang berusia 26 tahun serta berasal dari Sarawak sudah membuat laporan polis terhadap penyalahgunaan gambarnya itu.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 9:36 PM