DUA pelajar terbabit. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini
am@hmetro.com.my


DUA pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah agama persendirian di Kampung Tok Has di Jertih, yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu, ditemui selamat di Kota Bharu, hari ini.

Kedua-duanya ditemui oleh seorang lelaki yang singgah bersarapan di sebuah kedai makan di Kota Bharu, jam 7.30 pagi,

Lelaki berkenaan mengecam wajah dua pelajar itu yang dilaporkan hilang dan tular di Facebook, sebelum kedua-duanya mengakui mereka adalah pelajar yang dilaporkan hilang itu.

Pemuda itu kemudian menghubungi keluarga salah seorang pelajar berkenaan sebelum seorang saudara mereka yang berada di Pasir Putih, datang mengambil dan membuat laporan penemuan mereka di Balai Polis Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi mengesahkan menerima laporan kes kehilangan pelajar terbabit sebelum ini dan kes dianggap selesai dengan penemuan dua pelajar berkenaan pagi tadi.

“Pihak sekolah masih menyiasat punca dua pelajar itu melarikan diri daripada asrama sejak Isnin lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, salah seorang pelajar terbabit ketika dihubungi berkata, dia dan rakannya tidak berniat untuk merisaukan keluarga, sebaliknya hanya mahu menghilangkan tekanan belajar.

“Kami pada awalnya hanya mahu menghilangkan tekanan belajar dengan pergi berjalan ke rumah ibu saudara rakan di Kota Bharu.

“Tetapi sampai di sana kami mengubah fikiran dan disebabkan duit tidak cukup untuk makan, kami buat keputusan kerja cuci pinggan di kedai. Pak cik tuan kedai kedai ada tanya kami daripada mana, tetapi kami hanya mendiamkan diri.

“Tetapi pagi tadi ada seorang lelaki singgah makan di kedai dan perasan muka kami yang dilaporkan hilang di Facebook dan apabila ditanya, kami mengaku kami adalah pelajar dilaporkan hilang itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 9:00 PM