GAMBAR hiasan.
Nurul Fatihah Sulaini
am@hmetro.com.my


PESARA guru berputih mata apabila wang miliknya sebanyak RM800 dicuri sebelum sempat mengambilnya daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Jertih, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, ketika kejadian kira-kira 9.30 pagi, mangsa yang juga seorang wanita berusia 68 tahun mengeluarkan wang di mesin ATM sebuah bank di bandar itu.

Menurutnya, selepas mengeluarkan wang, pengadu menyimpan semula kad ATM miliknya ke dalam beg duit sebelum mendapati duit yang belum diambil di tempat keluar wang ATM itu sudah tiada.

“Seorang wanita yang berada di sebelah mangsa kemudiannya mendakwa melihat dua lelaki mengambil wang berkenaan sebelum beredar dari situ,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zamri berkata, susulan kejadian wanita berkenaan membuat laporan di Balai Polis Jertih dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Beliau berkata, pihak polis kini menggiatkan usaha mengesan suspek terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 8:08 PM