PUTRAJAYA 03 MEI 2019. Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika sidang media selepas Perbincangan Strategik Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini, berkongsi maksud ayat al-Quran daripada surah an-Nur di laman sosial beliau.

“Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri dan berkata: ‘Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.’ (An-Nur: 12),” ciap beliau menerusi akaun Twitter.

Ia dipercayai merujuk kepada tuduhan sesetengah pihak ke atas dirinya berhubung klip video lucah membabitkan dua lelaki yang tular di media sosial sebelum ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, hasil analisis CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity) mendapati kebarangkalian video itu tulen adalah tinggi.

Bagaimanapun, menurutnya, hasil proses pengecaman wajah adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video itu dengan individu dimaksudkan.

“Hasil siasatan Polis Diraja Malaysia mendedahkan bahawa wujud pakatan jahat yang didalangi oleh seorang pemimpin sebuah parti politik bertujuan mengaib dan menjatuhkan reputasi individu tertentu,” katanya seperti dipetik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 4:22 PM