Zaim Syahmi menunjukkan pingat yang dimenangi pada satu majlis penyampaian pingat di Kuala Lumpur Selasa lalu.
Faliq Lajim
faliq.lajim@nstp.com.my


PENUNTUT Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengharumkan nama negara apabila memperoleh skor tertinggi di Malaysia dan juga dunia dalam Sijil Profesional Program Perakaunan - Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (CAT-ACCA).

Zaim Syahmi Yusnuzam Azirul, 19, memperoleh skor 96 peratus bagi kertas Asas Pengurusan Kewangan (FFM) Sesi Disember 2018.

Kejayaannya itu membolehkannya diumumkan pemenang hadiah utama FFM dalam satu majlis penyampaian pingat di Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Penuntut Fakulti Perakaunan UiTM itu berkata, dia meminati bidang perakaunan sejak sekolah menengah lagi.

“Saya memang suka dengan nombor sejak kecil. Apabila masuk sekolah menengah saya diperkenalkan dengan subjek perakaunan, terus saya ‘jatuh cinta’.

“Selepas saja habis SPM, cikgu mengesyorkan saya ambil CAT sebelum ambil peperiksaan ACCA berikutan beliau nampak bakat saya dalam bidang ini,” katanya.

Anak pertama daripada dua beradik itu berkata, dia tidak menyangka apabila skornya itu diumumkan yang paling tertinggi bagi sesi berkenaan.

“Alhamdulillah, pada mulanya, saya hanya sasar skor tertinggi di Malaysia saja, namun tak sangka skor itu tertinggi juga di dunia.

“Apa yang penting adalah fokus serta membuat latihan terutama menjawab soalan peperiksaan tahun lalu.

“Kejayaan ini juga adalah hasil bimbingan pensyarah UiTM yang sentiasa membimbing saya.

“Selain itu, kejayaan ini juga datang hasil doa ibu bapa yang sentiasa mendoakan kejayaan saya,” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UiTM, Prof Dr Mohd Azraai Kassim memuat naik status di laman Twitter rasminya dengan ucapan tahniah kepada Zaim Syahmi selepas diumumkan penuntut terbaik dalam satu majlis penyampaian pingat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 4:12 PM