FOTO hiasan
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


LEBIH 63 peratus pengguna peranti mudah alih di Asia Tenggara tidak pernah mempedulikan terma dan lesen perjanjian aplikasi dan hanya menekan butang ‘terima’ untuk setiap aplikasi dipasang pada peranti.

Ia susulan aplikasi tular di laman sosial yang memaparkan perubahan wajah ketika berusia atau sebaliknya kerana didakwa memberi ancaman kepada pengguna kerana wajah pengguna boleh digunakan pihak ketiga untuk tujuan berniat jahat.

Pengurus Besar Kaspersky Asia Tenggara, Yeo Siang Tiong berkata, berdasarkan kajian menunjukkan majoriti pengguna di rantau ini tidak mempedulikan terma dan lesen perjanjian dipaparkan sesuatu aplikasi.

Menurutnya, 43 peratus pengguna lebih mudah menandakan semua kebenaran akses aplikasi termasuk kebenaran aplikasi berkongsi maklumat data peribadi.

“Walaupun kajian ini sudah dilaksanakan sejak tiga tahun lalu, kami tetap yakin perilaku pengguna digital masih relevan dan kini sudah terbukti masih berlaku.

“Memang benar, ia bukan satu kesalahan atau bahaya untuk menyertai cabaran dalam talian (Online Challenges) atau memasang aplikasi baru.

“Bagaimanapun, bahaya berkenaan akan wujud jika pengguna mengabaikan butiran keterangan berkaitan terma serta lesen perjanjian pembangun aplikasi dan hanya menandakan kebenaran untuk semua perkara,” katanya.

Yeo berkata, perkara buruk akan berlaku jika maklumat sensitif digunakan penggodam terutamanya membabitkan aplikasi tular.

“Kami mencadangkan pengguna lebih berhati-hati dan membaca setiap terma aplikasi berkenaan serta tidak sewenangnya membenarkan perkongsian data pengguna.

“Kaspersky juga mahu mengingatkan pengguna memuat turun aplikasi daripada sumber sah saja untuk mengurangkan risiko manipulasi data,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 3:41 PM