Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


“SAYA nampak kemaluan haiwan itu dan pasti harimau itu jantan,” kata Wook Mohd Noor, 63, berhubung harimau muncul di hadapan kediamannya di Kampung Besul Lama, Bukit Besi di Dungun, semalam.

Dalam kejadian 7.15 pagi itu, wanita warga emas terbabit mengalami detik cemas apabila harimau jantan itu yang muncul depan rumahnya.

Menurut Wook, kejadian itu disedari apabila dia terdengar bunyi bising haiwan ternakannya di luar rumah.

Katanya, sebaik membuka pintu, dia terkejut melihat harimau terbabit berdiri sambil memandang wajahnya.

“Mak cik orang pertama melihat harimau itu dan haiwan terbabit berada dalam jarak lima meter dari saya.

“Muka harimau itu nampak bengis, mak cik sangat takut kerana haiwan terbabit didapati mengelilingi sekitar rumah lebih satu jam.

“Inilah kali pertama mak cik berdepan dengan harimau dan sehingga kini takut keluar rumah,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, sebelum ini dia juga pernah terdengar bunyi harimau mengaum pada waktu malam kerana rumahnya terletak berhampiran kawasan hutan.

“Biasa dengar ia mengaum saja, tapi semalam mak cik tak sangka berdepan dengan harimau itu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Suzana Mustafa, 26, berkata, dia sangat berharap supaya haiwan itu segera ditangkap.

Katanya, dia juga turut berdepan detik cemas apabila dikejar harimau terbabit ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya semalam.

“Saya sangat trauma dan malam tadi tidak dapat tidur nyenyak teringatkan kejadian itu. Nasib baik saya berjaya mengawal motosikal dengan baik sepanjang 300 meter dikejar harimau itu.

“Kalaulah saya terjatuh dalam kejadian itu saya tak tahu apa akan terjadi pada kandungan anak kedua saya ini,” katanya yang mengandung enam bulan.

Katanya, dia berterima kasih kerana pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) mengambil tindakan, namun berharap supaya binatang itu segera ditangkap.

“Kalau boleh biarlah kakitangan tingkatkan operasi sepanjang masa sehingga haiwan itu segera ditangkap.

“Saya kini takut ke tempat kerja kerana takut melalui jalan itu. Tapi, itulah satu-satunya jalan yang ada,” katanya.


SUZANA bersama suami, Zulkarnain Ismail, 31 dan yang trauma dikejar harimau. FOTO Rosli Ilham

Berita berkaitan

Umpan ayam perangkap harimau

Hebat Ayoh Wang kite...

Seram sejuk badan dijilat harimau

Rimau `jinak' masuk kampung [METROTV]

Harimau haiwan peliharaan?

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 3:21 PM
WOOK orang pertama melihat harimau muncul di hadapan kediamannya di Kampung Besul Lama, Bukit Besi di Dungun. FOTO NSTP