Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


BEBERAPA kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air dan tekanan air rendah berikutan pencemaran bau di Sungai Selangor hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, gangguan berkenaan adalah disebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3) terpaksa dihenti tugas.

Katanya, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dengan kerjasama beberapa agensi sedang berusaha mengatasi masalah berkenaan.

“Beberapa kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat dijangka terkesan dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah.

“Maklumat serta status terkini gangguan bekalan air itu boleh disemak menerusi laman sesawang www.syabas.com.my atau menerusi aplikasi Air Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 3:15 PM