MAHFUZ (dua kiri) bersama Dr Reha (dua kanan) ketika melawat tapak pameran pada majlis di UTeM, hari ini. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber.
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


TANJUNG Malim, Perak yang dicadang sebagai bandar pintar untuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan direalisasikan dalam tempoh tiga tahun lagi.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, daerah itu akan dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan yang bersesuaian.

“Ia akan jadi bandar bersepadu yang di dalamnya ada universiti, industri dan pusat penjanaan inovasi dan pemikiran inovatif dalam kalangan masyarakat kita.

“Tak boleh pemikiran inovasi ini habis setakat mana mereka belajar sahaja. Sepatutnya pemikiran anak-anak Malaysia sudah sampai ke satu tahap boleh jadi negara pengeluar ciptaan kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik Artikulasi Program Diploma Kemahiran dan Vokasional ke Ijazah Sarjana Muda Teknologi di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Durian Tunggal, Melaka hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UTeM Prof Dr Raha Abdul Rahim; Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Dr Ahmad Zaidee Ladin dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Suimi Abdul Majid.

Mahfuz berkata, pihaknya sedang mengenal pasti tanah untuk dijadikan pusat bandar TVET.

“Kita ada tanah-tanah kementerian dan saya fikir itu boleh dimajukan daripada dibiarkan kosong. Di Tanjung Malim, kita ada tanah seluas 60 ekar (kira-kira 24 hektar) untuk tujuan itu.

“Saya fikir di situ sesuai kerana kita ada Bandar Proton, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), jadi ia boleh jadi bandar hebat daripada sudut akademik, kemahiran dan industrinya, menjadikan kita boleh lebih berdaya maju,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 2:59 PM