MUHAMAD Zikril Azan (kiri) menunjukkan tong LPG yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Kajang, semalam. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


CURI gas petroleum cecair (LPG) untuk kaut keuntungan berganda. Itu taktik sindiket yang mencuri LPG bersubsidi untuk isi rumah dan memindahkannya ke tong gas industri.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas serbuan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Kampung Baru Balakong, Kajang, pada 1 tengah hari semalam.

Dalam serbuan itu, sebanyak 561 LPG pelbagai saiz dan dua lori dianggarkan bernilai RM107,209 dirampas selain pekerja tempatan dan dua lelaki Indonesia berusia lingkungan 20-an ditahan untuk tindakan lanjut.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, siasatan pihaknya mendapati sindiket berkenaan aktif melakukan kegiatan itu sejak setahun lalu.

“Modus operandinya adalah memindahkan gas dari tong LPG bersubsidi seberat 14 kilogram ke tong LPG industri seberat 50 kilogram dan kemudiannya ia dijual pada harga antara RM160 hingga RM180 setong.

“Mengikut harga pasaran, setong LPG industri berharga RM260 hingga RM280, namun sindiket itu licik mencuri LPG bersubsidi yang harganya RM26.60 dan memindahkan ia pada skala tiga tong bagi satu LPG industri,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Muhamad Zikril berkata, kerja memindahkan gas dilakukan pekerja di premis yang dijadikan gudang itu, mengikut kaedah konvensional yakni gunakan hos dan ais.

“Kami percaya bekalan LPG diperoleh di sekitar Lembah Klang. Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana kesalahan menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 11:11 AM