ANGGOTA penguat kuasa melakukan pemeriksaan terhadap kilang memproses plastik kitar semula dalam operasi bersepadu, semalam.
Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my


KUALA SELANGOR: Tindakan enam pengusaha kilang kitar semula plastik yang beroperasi secara haram membawa padah apabila agensi penguat kuasa bertindak memotong bekalan elektrik dan air ke premis berkenaan, semalam.

Semua kilang terbabit sudah mendapat notis arahan penutupan operasi oleh Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) sebelum ini namun gagal mematuhi peraturan.

Penolong Pegawai Penguatkuasa MDKS Lokman Ujang berkata, operasi bermula jam 10.30 pagi membabitkan empat kilang di Ijok serta dua lagi di Bestari Jaya dan Jeram.

Menurutnya, operasi turut membabitkan penguat kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor dan Tenaga Nasional Berhad.

“Serbuan dijalankan susulan arahan Kerajaan Selangor yang meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan tindakan tegas terhadap kilang kitar semula plastik haram yang beroperasi tanpa lesen.

“Kedegilan semua premis yang beroperasi selepas menerima notis menyebabkan tindakan tegas ini diambil pihak berkuasa,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 5:30 AM