KEADAAN Toyota Estima yang terbabit dalam kemalangan dengan lori di Kilometer 415.7 LPT 2 dekat Ajil-Telemong, hari ini. FOTO ihsan polis.
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


JURURAWAT maut manakala suaminya parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 415.7 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) dekat Ajil-Telemong di Kuala Berang, hari ini.

Dalam kejadian pada 7.30 pagi itu, mangsa, Zahratul Ardiah Ismail, 34, yang bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Suaminya, Mazlan Machap, 34, yang memandu Toyota Estima dan bekerja sebagai pegawai pelesenan di Putrajaya parah di kepala manakala anak mereka, Zhariff Mufeed, 5, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila lori Hino dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun dari arah Pelabuhan Gebeng menghala ke Kota Bharu manakala tiga sekeluarga yang menaiki Toyota Estima itu dari arah Kuala Lumpur ke Pulau Perhentian.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, lori itu dilanggar Toyota Estima dari arah belakang menyebabkan penumpang hadapan maut di lokasi kejadian.

“Pemandu yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut manakala mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan akan diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

“Pemandu lori membawa muatan simen itu tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 6:00 PM