BULAT melarikan diri ke longkang di sekitar Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur dalam keadaan kepalanya tersangkut dalam bekas plastik. (Gambar kecil) Bekas plastik yang tersangkut pada kepala Bulat sejak lima hari lalu.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


KUCING diberi nama Bulat yang berusia kira-kira dua tahun, kelihatan ‘gembira’ apabila diselamatkan selepas kepalanya terperangkap dalam bekas plastik sejak lima hari lalu.

Bulat yang juga kucing jantan liar ditemui Rozidah Hussin, 49, dalam longkang di sekitar Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur, 9 pagi hari ini.

Rozidah berkata, sebelum ini anaknya memaklumkan menemui kucing itu dalam keadaan kepala tersangkut pada bekas plastik pada Ahad lalu, namun haiwan itu melarikan diri ketika cuba ditangkap.

“Saya ingatkan Bulat sudah mati kerana sudah lima hari kepalanya tersangkut dalam bekas berkenaan. Bagaimanapun, ketika sedang menebang pokok di depan rumah pagi tadi, saya ternampak Bulat dan terus menangkapnya.

“Pelbagai cara saya lakukan untuk menarik bekas plastik berkenaan, namun gagal.

“Selepas lebih dua jam mencuba, saya menghubungi pihak bomba untuk membantu menyelamatkan Bulat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, sebaik pihak bomba tiba, Bulat sekali lagi melarikan diri ke longkang berhampiran.

Menurutnya, mereka mengambil masa hampir satu jam untuk menangkap Bulat sebelum pihak bomba berjaya menarik kepalanya keluar daripada bekas plastik itu dalam masa tidak sampai satu minit.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak bomba kerana berjaya menyelamatkan nyawa Bulat.

“Walaupun Bulat bukan kucing peliharaan saya, namun sudah dua tahun saya memberikannya makan hingga menyebabkan ia sering datang ke rumah ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn, Mohamad Akmal Mohamad Khairi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.43 pagi.

“Seramai tujuh anggota dan satu jentera dikerahkan ke lokasi. Sebaik tiba, kami dimaklumkan kepala kucing itu tersangkut dalam bekas plastik dan berjaya mengeluarkan bekas berkenaan dalam tempoh kurang satu minit.

“Kucing itu yang tidak cedera dan kemudian diserahkan kepada penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 5:50 PM