MAZLAN (tengah) bersama pegawainya menunjukkan set komputer riba pelbagai jenama dirampas daripada sindiket judi dalam talian pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini.
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


SINDIKET judi dalam talian antarabangsa dikenali kumpulan Apang didalangi warga China tumpas selepas polis menyerbu sebuah premis di Jalan Metro Perdana Barat, Kepong, Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Sindiket terbabit dikesan menjadikan Malaysia sebagai hub menjalankan kegiatan perjudian itu bagi mengelak ditahan pihak berkuasa di China.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, serbuan dijalankan pada 10 malam oleh sepasukan polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Beliau berkata, polis pada mulanya menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang berperanan membeli makanan kepada anggota sindiket terbabit.

“Turut ditahan 46 lelaki dan tiga wanita warga China berusia 19 hingga 52 tahun di rumah kedai terbabit yang dijadikan pusat panggilan menawarkan khidmat judi sejak sebulan lalu.

“Polis merampas 48 set komputer riba pelbagai jenama, 67 telefon bimbit pelbagai jenama, 17 unit tetikus, dua unit router pelbagai jenama, dua unit modem, kad akses dan kunci,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), hari ini.

Mazlan berkata, tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke IPD Sentul untuk tindakan selanjutnya dengan nilai rampasan RM100,000.

Beliau berkata, sindiket terbabit menyewa rumah kedai itu dengan sewa RM4,000 sebulan dan tinggal di kondominium di atas rumah kedai terbabit dengan bayaran sewa RM4,000 sebulan.

“Modus operandinya dengan menggunakan kaedah WeChat yang mensasarkan warga China di negara mereka untuk berjudi.

“Setiap pemenang akan menerima wang yang dipindah masuk ke dalam akaun bank mereka dan kami masih menyiasat sama ada ia turut ditawarkan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Mazlan berkata, siasatan mendapati anggota sindiket itu turut dibayar upah antara RM2,000 ke RM2,500 sebulan.

Beliau berkata, mereka diberi kursus untuk menjalankan kegiatan perjudian itu dengan nilai transaksi mencecah RM1.5 juta sebulan.

“Semakan mendapati hanya tiga orang memiliki pas pelancong sah manakala selebihnya tiada dokumen dan ia dipercayai disimpan ketua sindiket terbabit.

“Lelaki tempatan itu masih dalam tahanan reman manakala warga China itu direman 14 hari bermula Selasa lalu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan dalang kumpulan itu dikenali Apang dan sedang menyiasat sama ada lokasi lain di negara ini dijadikan pusat panggilan sindiket terbabit.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 5:11 PM