Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


KETUA Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador menafikan wujudnya campur tangan mana-mana pihak berhubung siasatan rakaman video seks sejenis membabitkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Malah, beliau berkata, siasatan dijalankan pasukan khas yang ditubuhkan dibawah Jabatan Siastan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ingin saya jelaskan bahawa tiada campur tangan daripada mana-mana individu dan saya juga tidak menerima sebarang tekanan... tiada sama sekali.

“Malah siasatan dijalankan polis itu adalah mengikut SOP yang ditetapkan... tiada tekanan,” katanya dalam sidang media ketika mengadakan Lawatan Kerja di Markas Angkatan Tentera Malaysia, Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam lawatan berkenaan, Abdul Hamid disambut oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Abdul Hamid turut dibawa bertemu dengan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.


ABDUL Hamid diiringi Zulkifli (kanan) diperkenalkan kepada Pegawai-Pegawai Kanan ATM. FOTO Aswadi Alias

Ketika ditanya berhubung hasil siasatan berhubung ketulenan video seks sejenis berkenaan, beliau berkata akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenainya.

“Mengenai ketulenan video itu, saya akan buat satu kenyataan nanti,” katanya.

Pada 13 Jun lalu, Haziq dalam satu kenyataan mengakui sebagai individu di dalam rakaman video seks sejenis dengan seorang lelaki yang tular di media sosial.

Malah, Haziq mengakui bahawa seorang lagi lelaki yang bersamanya dalam rakaman berkenaan mirip seorang menteri kanan.

Sementara itu, Abdul Hamid turut menafikan dakwaan Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Perak mengenai Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador yang dikatakan tidak diberi makan dalam tempoh 24 jam ketika di bawah tahanan reman.

“Itu semua dakwaan yang tidak betul dan saya menafikan sekeras-kerasnya,” jelasnya.

Farhash yang juga Pengerusi PKR Perak ditahan reman selama empat hari bermula semalam bersama seorang lagi individu bagi membantu siasatan video berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 1:54 PM