GAMBAR hiasan. UAV Scaneagle. FOTO Wikipedia/Tentera Laut Amerika Syarikat
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


KERAJAAN mengesahkan 12 dron ScanEagle yang diterima dari Amerika Syarikat (AS) sudah dinilai dan selamat untuk digunakan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, penilaian itu dilakukan Kementerian Pertahanan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Dron yang akan digunakan untuk mengawal dan meninjau keselamatan di kawasan perairan negara juga sudah dinilai oleh pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan negara selain mengelakkan ancaman pengintipan.

“Dron-dron ini sudah dilihat di tempat ia disediakan sebelum ia dihantar ke Malaysia, dan selepas peranti itu dihantar ke Malaysia dan beroperasi kelak, ia juga akan dinilai lagi oleh agensi terbabit,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Hamzah pada sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat, hari ini.

Jemaah Menteri sebelum ini meluluskan untuk menerima 12 dron atau pesawat tanpa pemandu (UAV) ScanEagle bernilai hampir RM80 juta itu dari AS.

Timbalan Menteri Pertahanan,Senator Liew Chin Tong sebelum ini berkata, kesemua dron itu diperolehi, tanpa membabitkan sebarang kos daripada kerajaan Malaysia kerana ia adalah program ‘Inisiatif Keselamatan Maritim’ (MSI) yang dibiayai sepenuhnya oleh AS.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan (mengenai perolehan dron) sebelum ini sudah jelas dan ia juga sudah dipersetujui oleh Jemaah Menteri.

“Dasar luar negara kita adalah kita berbaik (mengadakan kerjasama dan hubungan ketenteraan) dengan AS dan China tanpa memihak kepada negara tertentu sahaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 1:40 PM