SUBRAMANIAM dituduh melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


LELAKI warga emas yang didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun terpaksa bermalam di penjara selepas Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, tidak membenarkan dia dibebas dengan jaminan.

Hakim Junaidah Mohd Isa membuat keputusan tidak membenarkan ikat jamin terhadap V Subramaniam, 65, selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, tertuduh mengenali keluarga mangsa dan sekiranya dibenarkan jaminan kemungkinan tertuduh akan melakukan gangguan terhadap keluarga terbabit.

Tertuduh sebelum itu mengaku tidak bersalah terhadap lapan pertuduhan di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 293 Kanun Keseksaan.

Mengikut dua pertuduhan, tertuduh didakwa menghasilkan dan memiliki video pornografi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di dalam telefon bimbit miliknya.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memujuk mangsa dengan menjanjikan membeli pelbagai jenis barangan serta pakaian berniat untuk melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak itu.

Manakala bagi lima pertuduhan lain, dia didakwa melakukan amang seksual, menyuruh mangsa melakukan perbuatan seks terhadapnya dan membiarkan mangsa melihat perbuatan seks dilakukan dirinya sendiri.

Semua perbuatan itu dilakukan di parkir bangunan Kompleks Penjaja Majlis Perbandaran Seremban kira-kira jam 6 petang antara minggu kedua hingga minggu ketiga Jun lalu.

Sementara itu, Subramaniam turut didakwa atas satu pertuduhan pilihan iaitu memiliki bahan lucah di dalam telefon bimbit miliknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, jam 2.30 pagi pada 10 Julai lalu.

Portal berita Harian Metro pada 10 Julai lalu melaporkan lelaki warga emas yang disyaki melakukan gangguan seksual dan mencabul kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang tular di Facebook ditahan polis.

Pemandu lori itu ditahan di Lebuhraya Utara Selatan dekat Gopeng, Perak 9.20 malam 9 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 11:58 AM