TEK Kuang hadir prosiding perbicaraan SRC. FOTO Aswadi Alias
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa beliau bertemu ahli perniagaan, Jho Low atau Low Taek Jho ketika pergi ke rumah Datuk Seri Najib Razak bagi proses membuka tiga akaun semasa Ambank.

Bekas Pengarah Urusan Ambank, Cheah Teck Kuang berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding perbicaraan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi Najib.

Menurutnya, pada pertengahan Januari 2011, beliau di bawa ke rumah Najib yang terletak di Jalan Langgak Duta bagi berbincang berhubung pembukaan akaun itu.

Katanya, dia dibekalkan dengan borang pembukaan akaun dan kad kredit oleh Pegawai Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping.

“Apa yang saya ingat borang itu kosong dan tidak diisi sebarang maklumat. Apabila tiba di rumah itu, saya bertemu Jho Low (yang pernah ditemui sebelum ini).

“Saya dibawa ke dalam rumah dan diperkenalkan kepada Najib. Saya dan Najib pergi ke bilik tetamu manakala Jho Low menunggu di bahagian lain rumah,” katanya.

Cheah berkata, pertemuan berlangsung 20 minit dan beliau membuat penerangan berhubung proses pembukaan itu.

“Saya memaklumkan kepada beliau bahawa pembukaan itu perlu melalui peraturan yang ditetapkan bank dan saya bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung perkara itu kerana ia membabitkan individu yang terdedah dengan politik.

“Saya kemudian memberikan borang kosong bagi pembukaan akaun dan kad kredit yang kemudiannya ditanda tangani oleh Najib.

“Selepas selesai saya dihantar pulang dan keesokannya borang itu diserahkan kepada Yu,” katanya.

Saksi ke-50 itu berkata, beliau bertemu dengan Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Aziz di pejabatnya bagi memaklumkan perkara itu.

“Zeti memaklumkan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan tetapi mengingatkan bahawa pembukaan itu perlu mematuhi peraturan dan undang-undang perbankan.

“Berhubung penggunaan kod nama ‘AmPrivate Banking - MR’, saya tidak pasti siapa yang memutuskan demikian, bagaimanapun, Yu memaklumkan bahawa ia adalah berdasarkan permintaan Jho Low yang mahu ia dibuat secara tahap rahsia yang tinggi,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa perkara itu turut dimaklumkan kepada BNM.

Terdahulu, Cheah memberitahu mahkamah bahawa AmBank terbabit dengan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2009 apabila mereka menjadi pelanggan korporat mereka.

“Saya mula terbabit dengan akaun peribadi Najib pada penghujung 2010. Pada awal Januari 2011, beliau ditemui Yu yang memaklumkan bahawa Najib menyatakan minat mahu membuka akaun simpanan dan semasa di AmBank.

“Saya kemudian bertemu dengan Pengerusi AmBank, Tan Sri Azman Hashim bagi membincangkan perkara itu sebelum menghubungi Ketua Setiausaha Sulit Najib iaitu, arwah Datuk Azlin Alias bagi mendapatkan masa dan tempat pertemuan,” katanya.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 8:52 PM