GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


DUA beranak termasuk seorang remaja perempuan berusia 17 tahun mendakwa menjadi mangsa cabul lelaki gila seks dalam kejadian di sebuah pasar raya di Manir, Kuala Terengganu pada Jumaat lalu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 5 petang apabila wanita berusia 41 tahun bersama anaknya ke pasar raya berkenaan untuk membeli barang dapur.

Menurut sumber, dua beranak itu kemudiannya dikatakan berpecah kerana masing-masing ingin mencari barang keperluan sebaik tiba di pasar raya berkenaan.

Katanya, wanita yang bekerja sebagai tukang sapu tiba-tiba dilanggar seorang lelaki dari arah hadapan dan terkena payudaranya.

“Mangsa menegur tindakan suspek tetapi lelaki terbabit memberi alasan lorong di situ sempit dan tidak sengaja melanggar wanita terbabit.

“Bagaimanapun, perbuatan lelaki itu terbongkar apabila anak mangsa turut menceritakan orang yang sama dua kali memegang punggungnya ketika berada di pasar raya terbabit.

“Remaja itu hanya menceritakan kejadian itu pada Ahad lalu selepas ditanya oleh ibunya yang curiga dengan perubahan sikap anaknya selain tidak mahu ke sekolah,” katanya.

Sumber berkata, wanita berkenaan yang tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu kemudiannya mencarinya di pasar raya berkenaan tetapi dia menafikan tuduhan itu sehingga menyebabkan berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

Katanya, mangsa kemudiannya minta pihak pengurusan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tetapi mangsa dimaklumkan perlu membuat laporan terhadap majikan mereka terlebih dahulu.

“Mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian terbabit.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 7:32 PM