ZULKIFLI (kiri) menyerahkan wang sumbangan kepada Abdullah di Wisma Pertahanan. FOTO IHSAN MARKAS ATM
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


TERKESAN dengan penderitaan bayi lelaki berusia 14 bulan yang memerlukan pembedahan segera akibat komplikasi hati, warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mengutip sumbangan berjumlah RM56,407 bagi membantunya.

Penyerahan sumbangan disampaikan sendiri Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin kepada bapa bayi berkenaan, Pegawai Waran II Abdullah Yaakub di Wisma Pertahanan, hari ini.

Turut menyaksikan penyerahan itu Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah.

Bahagian Hal Ehwal Awam Markas ATM dalam kenyataannya, berkata bayi lelaki itu, Mohd Afif Irfan mengidap penyakit hati kronik dikenali sebagai ‘Billiary Attresia’.

Katanya, susulan komplikasi dihadapi, Mohd Afif memerlukan RM160,000 bagi membiayai kos pembedahan hati di Max Super Specialty Hospital di Saket, New Delhi, India.

“Sebelum ini, adik Mohd Afif menerima rawatan awal di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Pemeriksaan lanjut di PPUM mengesahkan bayi itu mengalami komplikasi hati yang kronik dan memerlukan pembedahan segera di luar negara yang menelan kos RM160,000,” katanya.

Menurut kenyataan itu, menyedari keperluan membantu bayi berkenaan, ATM kemudian cuba mengurangkan beban dihadapi dengan mengumpul sumbangan daripada warganya.

“Sumbangan RM56,407 diharap mampu mencukupkan kos diperlukan dan warga ATM berharap sedikit sebanyak dapat mengurang serta membantu urusan pembedahan berkenaan.

“Malah, kami di ATM berharap proses pembedahan kelak berjalan lancar di mana adik Mohd Afif akan dibawa menaiki penerbangan ke New Delhi pada Rabu, minggu hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 7:06 PM