Rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki menaiki motosikal yang disyaki meragut rantai leher berhampiran pintu masuk pasar raya di Semenyih, semalam. Foto Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


DUA lelaki diburu polis selepas disyaki meragut rantai leher seorang wanita di sebuah pasar raya di pekan Semenyih semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya ada menerima laporan mangsa yang berusia lingkungan 50-an berkaitan kejadian itu.

Menurutnya, mangsa mendakwa dia dihampiri dua lelaki menaiki sebuah motosikal yang kemudian meragut rantai dalam kejadian 10.50 pagi.

“Siasatan lanjut terhadap kejadian itu sedang dijalankan termasuk memburu dua suspek berkenaan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kejadian itu tular di media sosial selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi dimuat dimuat naik di Facebook hari ini.

Video berdurasi lapan saat itu menunjukkan dua lelaki menaiki motosikal meragut rantai leher mangsa ketika dia sedang berjalan menuju ke pintu masuk pasar raya berkenaan bersama seorang lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 6:52 PM