FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


WANITA berstatus isteri orang dijatuhi hukuman denda RM2,800 di Mahkamah Rendah Syariah Marang hari ini selepas ditahan di sebuah hotel bersama suami orang.

Selain itu, tertuduh berusia 43 tahun dan tidak bekerja itu turut berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda.

Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof membuat keputusan itu selepas tertuduh yang juga ibu kepada lima anak mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu berkhalwat.

Bagaimanapun, pasangannya berusia 43 tahun dan bekerja sebagai penoreh getah tidak hadir ke mahkamah kerana masalah kesihatan sebelum Nik Mohd Shahril Irwan menetapkan 6 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu.

Mengikut fakta kes, pemeriksaan dan serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan penguat kuasa syariah daerah di sebuah hotel di daerah itu pada 2.30 pagi 15 Mac lalu.

Sebaik tiba, pintu utamanya tertutup rapat sebelum anggota mengetuk serta memberi salam beberapa kali.

Tertuduh lelaki membuka pintu dari dalam dan anggota memperkenalkan diri lalu membuat pemeriksaan.

Pemeriksaan menemui tertuduh wanita sedang berdiri berhampiran katil dan soal siasat mengesahkan mereka bukan suami isteri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 6:22 PM