Anwar pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. FOTO Saifullizan Tamadi
BERNAMA

PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu bercuti segera jika terbukti terbabit dalam video intim yang tular baru-baru ini.

“Saya berpandangan bahawa jika didapati video itu sahih, maka sepatutnya dia (Mohamed Azmin) cuti, tetapi itu yang kita dengar, tiada pengesahan, kalau video itu tidak sahih, dia tidak perlu bercuti,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata, terpulang kepada mana-mana pemimpin untuk bercuti atau meneruskan tugas selagi belum dibuktikan bersalah memberi gambaran bahawa terdapat perkembangan baharu dalam proses siasatan pihak polis.

Anwar berkata demikian menjawab soalan wartawan sama ada Mohamed Azmin perlu bercuti atau meletakkan jawatannya.

Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam kenyataan media semalam, meminta pemimpin yang didakwa terbabit dengan salah laku agar bercuti secara sukarela bagi memberi laluan kepada siasatan pihak berkuasa.

Dalam perkembangan lain mengenai penahanan pemimpin PKR Perak, beliau berkata, ia diserahkan sepenuhnya kepada siasatan pihak polis.

“Saya tidak dimaklumkan (mengenai penahanan). Kalau itu dalam proses siasatan, kami serah kepada polis.

“Pendirian parti ialah serahkan kepada pihak polis dan kami mahu supaya keadilan diberikan kepada pelaku dan perencananya,” katanya.

Berita berkaitan

Pengerusi PKR negeri direman kes video lucah

Isu video: Tiga lagi ditahan

Isu video: Haziq ditahan kali kedua

[UPDATE] Haziq direman enam hari

Polis siasat ketulenan video lucah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 6:15 PM