MURAD tiba di jeti Kastam Kuala Perlis. FOTO Ihsan Murad Mohd Kassim
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


“SELAMA dua hari saya berdepan dengan hujan lebat dan ribut, ia pengalaman yang cukup mendebarkan, ” kata Murad Mohd Kassim, 49, selepas menamatkan Ekspedisi Kayak Solo dari Pantai Merdeka, Alor Setar hingga Kuala Perlis hari ini.

Ekspedisi sejauh 90 kilometer itu mengambil masa empat hari dan Murad tiba di jeti Kastam Kuala Perlis pada 10.30 pagi hari ini selepas bertolak dari Kedah, 9.15 pagi Ahad lalu.

Menurut Murad, ekspedisi yang dinamakan Nostalgia Menjejak Badai itu dilakukan bagi mengimbau laluan ribut ketika misi mengelilingi Semenanjung lima tahun lalu (2015).

“Ia pengalaman yang hampir sama pada 2015, saya perlu kuat mental dan fizikal. Ada masanya, penglihatan terhad semasa hujan, saya terpaksa mendamparkan kayak di beting atau tidak berjauhan dengan daratan bagi mengelak ‘dipukul’ ribut.

“Selalunya tanda-tanda ribut dapat diketahui dan masih ada masa untuk saya bertindak, antara teknik lain adalah perlu mendayung terus ke arah ombak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pesara tentera ini, bagaimanapun, bersyukur cuaca yang baik serta air pasang hari ini memudahkan dia menamatkan kayuhan kayaknya.

Bagi memastikan misinya berjaya, Murad juga sering berhubung dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk memantau keselamatannya dari jarak jauh.

“Saya anggap ekspedisi ini juga sebagai latihan untuk menyertai Ekspedisi Kayak Menyusuri Jambatan Temburong di Brunei pada 9 sehingga 12 Ogos ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 2:47 PM