Khalid berjaya dalam kes samannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Owee Ah Chun
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad memperoleh ganti rugi RM80,000 selepas berjaya dalam kes samannya terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Profesor Datuk Mahamad Naser Disa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman yang dikemukakan oleh Khalid (plaintif) yang diwakili Muhammad Faiz Fadzil dan Mohd Faizal Abdullah terhadap Mahamad Naser (defendan)

“Tiada keterangan dikemukakan oleh pihak defendan yang menunjukkan plaintif ada mengeluarkan perkataan fitnah menentang Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

“Oleh itu kenyataan defendan adalah tidak benar dan menjatuhkan reputasi plaintif,” katanya.

Mahkamah memerintahkan Mahamad Naser membayar ganti rugi RM80,000 dan kos RM20,000 kepada plaintif.

Sementara itu, peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mahamad Desa berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Pada Disember 2017, Khalid memfailkan saman mendakwa Mahamad Naser ada mengeluarkan pernyataan fitnah berhubung isu RUU 355.

Beliau didakwa berkata demikian di dalam seminar anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pada 9.50 pagi, 28 September 2017 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Khalid mendakwa Mahamad Naser sebagai defendan memberi gambaran bahawa beliau menentang RUU 355 itu.

Beliau berkata, dakwaan defendan itu berniat jahat dan menyebabkan reputasinya tercemar.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan untuk ditaksirkan, selain permohonan maaf serta perintah injunksi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 2:04 PM