Reman Haziq Abdullah selama enam hari dikekalkan. FOTO Hafiz Sohaimi
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan perintah reman enam hari yang dikenakan terhadap bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz bagi siasatan berhubung video seksnya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas selesai mendengar hujah semua pihak iaitu Timbalan Pendakwa Raya Mohd Radzi Abdul Razak dan peguam S Ramesh yang mewakili Haziq.

Beliau bagaimanapun memutuskan untuk meminda perintah reman enam hari kepada empat hari terhadap lima individu yang ditahan bersama Haziq.

“Mahkamah berpendapat majistret terkhilaf memberi perintah reman secara sama rata terhadap semua individu itu.

“Mustahil semua suspek akan didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan sedangkan hanya Haziq yang disiasat mengikut seksyen itu,” katanya.

Oleh itu lima suspek itu mungkin dibebaskan esok.

Pada 15 Jun lalu, Haziq iaitu individu yang mengaku sebagai lelaki dalam sebuah video seks, direman enam hari.

Beliau turut ditahan bersama lima individu lain dipercayai ahli PKR dalam serbuan di sebuah restoran di Kelana Jaya, Petaling Jaya, 9 malam.

Perintah tahanan reman terhadap Haziq dikeluarkan Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki di Mahkamah Majistret.

Siasatan terhadap Haziq dan lima individu itu dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 377B adalah atas kesalahan melakukan persetubuhan bertentangan dengan luar tabii yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan hukuman sebatan jika sabit kesalahan.

Seksyen 233 Akta Komunikasi memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

ends

From: Murni

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 1:19 PM