FOTO Hiasan
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


MAHKAMAH Tinggi di Seremban, hari ini, melepas dan membebaskan lima lelaki termasuk seorang pegawai polis daripada tuduhan membunuh S Mohandas, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pegawai polis S Selva Kumar, 42; N Sureshkannah, 39; N Thanabalan, 32; R Veeramuthu, 53, dan N Rajasakanan, 40.

Dalam keputusannya, beliau berkata, mahkamah sudah meneliti keterangan yang diberikan oleh pihak pendakwaan dan pertimbangan hujahan bertulis serta lisan daripada peguam bela semua tertuduh.

“Selepas membuat penilaian maksimum, saya dapati tertuduh kedua sehingga kelima tiada keterangan yang boleh mengaitkan mereka dengan kesalahan seperti yang dituduh.

“Begitu juga bagi tertuduh pertama, saya membuat penilaian maksimum atas keterangan diberi dan satu kes prima facie gagal dikemukakan oleh pendakwa bagi kesalahan yang dituduh,” katanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala peguam, Datuk Michael K L Chee mewakili Selva Kumar; M Haresh (Sureshkannah dan Thanabalan) dan Paul Seladurai (Veeramuthu dan Rajasakanan).

Perbicaraan kes itu bermula awal tahun ini dan 16 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima tertuduh berusia 32 hingga 53 tahun didakwa atas niat bersama melakukan pembunuhan terhadap S Mohandas, 31, di atas bukit di kawasan pelupusan sampah dekat Jalan Labu, Seremban.

Perbuatan dilakukan antara 9 malam 11 Feb 2015 hingga 6 pagi 12 Feb 2015 dan mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Harian Metro pernah melaporkan polis menemui tulang manusia di dua kubur tidak bertanda susulan penahanan sekumpulan suspek dipercayai ahli kongsi gelap dalam operasi khas yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 1:17 PM