Anggota bomba membersihkan tumpahan raksa di sebuah kelas di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Tee. FOTO Ihsan JBPM
Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my


LIMA belas murid dan guru cemas apabila berlaku tumpahan raksa daripada satu termometer suhu yang pecah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Tee, Pasir Penambang, Kuala Selangor semalam.

Difahamkan, kejadian berlaku 12.30 tengah hari ketika mereka sedang menjalankan sesi uji kaji di dalam kelas sebelum berlaku tumpahan raksa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohd Faisal Jumari berkata, lapan anggota dan pegawai bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 12.56 tengah hari.

“Sebaik tiba di sekolah itu terdapat kejadian termometer pecah yang mengakibatkan tumpahan raksa.

“Anggota bomba bertindak pantas dengan melakukan kuarantin, sebelum proses menyahcemar bagi memastikan semua mangsa bebas daripada pencemaran raksa,” katanya.

Beliau berkata, anggota bomba membersihkan sisa tumpahan menggunakan serbuk sulfur, peluntur dan menanam bahan berbahaya berkenaan di kawasan selamat.

Katanya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku di sekolah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 11:49 AM