Kayu batak yang dirampas dengan nilai rampasan RM10,000. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni
cnews@nstp.com.my


JABATAN Hutan Sarawak (JHS) merampas 36 batang kayu batak pelbagai saiz dipercayai hasil pembalakan haram semalam.

Jurucakap JHS berkata, rampasan itu dibuat sepasukan penguat kuasa JHS wilayah Kuching hasil penahanan lori membawa muatan kayu batak itu di Jalan Matang-Batu Kawa 4.45 petang.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati lori itu membawa kayu batak berkenaan tanpa sebarang tanda JHS dan ia kesalahan mengikut Seksyen 95 (1), Ordinan Hutan Sarawak 2015.

“Kami menahan dan memeriksa lori yang membawa muatan batang kayu batak itu dan mendapati pemandunya gagal mengemukakan dokumen berkaitan muatan kayu batak yang dibawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nilai rampasan dianggarkan RM10,000 dan semua barang kes termasuk sebuah lori, lima unit anak kunci lori dan sekeping kanvas dibawa ke pejabat JHS Kuching untuk tindakan lanjut.

JHS meningkatkan pemantauan dan tindakan bersama beberapa agensi lain bagi membanteras kegiatan pembalakan haram di negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 11:34 AM