AISYAH Humaira menghidap komplikasi injap jantung terbalik dan berlubang.
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Sukar saya gambarkan perasaan melihat Aisyah Humaira buka mata selepas lebih lapan jam bertarung nyawa dalam pembedahan membetulkan injap jantung terbalik,” luah Marlina Omar, 41.

Ibu Aisyah Humaira Mohd Zaidi, bayi berusia dua bulan itu lega selepas anak bongsu daripada enam beradik itu selesai menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), 11 Julai lalu dengan kos RM100,000.

Sejak dilahirkan, Aisyah memerlukan pemantauan rapi selepas disahkan mengalami komplikasi saluran jantung terbalik selain mempunyai tiga lubang.

Menurutnya, Aisyah dibedah pakar hasil sumbangan orang ramai selepas penderitaan bayi perempuan itu tular di laman sosial awal bulan lalu dan memerlukan sumbangan bagi menampung kos pembedahan.

“Aisyah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN kerana paru-parunya mengalami pendarahan selain memerlukan mesin bantuan pernafasan.

“Pakar memberikan Aisyah ubat tidur supaya pendarahan cepat pulih. Sebaik stabil mesin bantuan pernafasan tidak diperlukan lagi,” katanya.

Menurutnya, fokusnya kini mahu memastikan Aisyah sihat walaupun menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dibenarkan keluar dari IJN.

Katanya, kejayaan pembedahan Aisyah berikutan sikap prihatin rakyat Malaysia yang tidak putus berdoa selain menyalurkan sumbangan.

“Suami (Mohd Zaidi Mohd Yusoff) saya memohon beberapa bantuan kewangan dari Pusat Zakat dan Yayasan Wilayah Persekutuan untuk menampung kos susulan.

Orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB Mohd Zaidi bernombor 7601528017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 5:45 AM