HABIBAH melihat gambar arwah anaknya di rumahnya di Kampung Kelompang, Derga.
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


ALOR SETAR: “Saya selalu berdoa agar kami dapat berjumpa di syurga, walaupun sudah lima tahun kejadian berlaku, wajah arwah sentiasa bermain di fikiran,” kata Habibah Ismail, 70.

Ibu kepada ketua pramugari pesawat Malaysia Airlines MH17, Azrina Yakob berkata, dia reda dengan pemergian anaknya biarpun kecewa dengan kejadian menembak pesawat penumpang itu.

Menurutnya, setiap kali melihat barang peribadi milik Azrina, hatinya sebak mengenangkan pemergian arwah yang terlebih dahulu dijemput Ilahi.

“Semua orang pasti akan mati, begitulah takdir Allah, Dia lebih mengetahui...sebagai ibu, Azrina tidak pernah lekang dalam doa saya, dia seorang yang baik, mengambil berat mengenai ahli keluarga walaupun sering terbang ke sana ke mari.

“Sewaktu awal kejadian dulu, saya rasa dia ada di sisi saya, tambahan ketika berada di rumah, tapi lama kelamaan perasaan itu hilang dan kini saya reda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kelompang, Derga di sini, semalam.

Ibu kepada empat anak itu berkata, setiap tahun ahli keluarganya tidak pernah lupa untuk mengadakan kenduri arwah untuk Azrina selain arwah suaminya Yakob Silamsudin yang meninggal dunia tiga tahun lalu akibat kencing manis.

Menurutnya, kehilangan insan tersayang dalam tempoh yang dekat menjadikannya lebih tabah dan mendekatkan diri dengan Allah.

“Saya harap mahkamah (Mahkamah Jenayah Antarabangsa di Belanda) akan menjatuhkan hukuman setimpal kepada penjenayah yang menembak jatuh pesawat itu. Insya-Allah doa orang teraniaya akan dimakbulkan Allah,” katanya.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 yang mengorbankan semua mangsa termasuk 43 rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 5:40 AM