NORAYANA (kiri) menerima kunjungan Aminolhuda bersama Suhara di Kampung Parit Yaani Laut, Yong Peng.
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


BATU PAHAT: “Saya hanya mampu berehat ketika suami dan bayi kami tidur,” kata Norayana Muslimin, 22, berkongsi kisah kehidupannya menguruskan anak dan suaminya di Kampung Parit Yaani Laut, Yong Peng di sini.

Norayana berkata, selain menjaga anak perempuan tunggal, Norzara Medina berusia enam bulan, suaminya, Mohamad Fuad Roslan, 22, yang terlantar sakit memerlukan penjagaan seperti seorang bayi serta pemantauan setiap masa.

Menurutnya, demi memberi penjagaan kepada dua insan kesayangannya itu, dia yang juga pekerja restoran terpaksa bercuti tanpa gaji hingga hilang punca pendapatan.

Katanya, suaminya yang juga bekas pengawal keselamatan mengalami kecederaan termasuk hancur tulang belakang, retak tulang bahagian tengkuk serta masalah urat saraf kesan kemalangan jalan raya di Jalan Kluang pada 16 Jun lalu.

“Suami berada dalam keadaan koma di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat selama dua minggu dan turut menjalani pembedahan di bahagian tulang belakang.

“Saya dan keluarga mentua memberi penjagaan penuh kepadanya termasuk membersihkannya, memberikan susu, ubatan dan rawatan asas seperti diajar doktor.

“Pada masa sama, saya juga perlu menjaga cahaya mata kami hingga mengakibatkan jadual harian saya padat,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Yaani merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi, Aminolhuda Hassan bersama Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) Batu Pahat Suhara Mustaffa.

Kunjungan itu juga menyaksikan penyerahan kerusi roda, tilam angin dan lampin pakai buang.

Perkeso turut menyumbang sejumlah tuntutan bayaran bagi pembelian barangan keperluan untuk pesakit.

Pesakit berkenaan akan dirujuk ke Jemaah Doktor Perkeso selepas menerima laporan perubatan lengkap dari hospital untuk melayakkannya menerima pencen bulanan daripada Perkeso sekiranya disahkan menghidap keilatan.

Norayana berkata, dia bersyukur kerana doktor menyatakan suaminya masih berpeluang untuk pulih.

Menurutnya, keluarganya juga nekad membawa suaminya itu menjalani rawatan dan pemeriksaan kesihatan susulan termasuk di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan HSNI.

Orang ramai yang mahu meringan beban keluarga Norayana boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya di 0100641000098756.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 5:35 AM