TINJAUAN aktiviti persundalan secara terbuka membabitkan wanita warga asing.
Hadzlan Hassan dan Muhaamad Hafis Nawawi dan Nurul Hidayah Bahaudin
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Suasana sekitar Jalan Pudu di ibu negara bagai pesta terutama hujung minggu apabila menjadi lokasi aktiviti persundalan terbuka membabitkan wanita warga asing.

Aksi menjengkelkan itu paling ketara sekitar Jalan Geylang, Jalan Gajah dan Jalan Tun Razak di sini, apabila kelibat wanita seksi terbabit bersidai di tepi jalan.

Tinjauan Harian Metro di Jalan Geylang pada hujung minggu lalu mendapati wanita terbabit dikawal beberapa lelaki dipercayai penjaga ketika menunggu pelanggan secara terbuka.

Kebanyakan wanita berkenaan tidak fasih berbahasa Melayu dan memerlukan orang tengah jika ada tawar-menawar.

Wartawan cuba melakukan tawar-menawar dan dipelawa mendapatkan khidmat seks dengan bayaran RM120 sebelum dikurangkan RM100 bagi satu sesi.

Namun, urus niaga berkenaan dibatalkan kerana bilik digunakan hanya bangunan rumah kedai berhampiran yang usang.

Berbeza keadaan di Jalan Gajah apabila kebanyakan rumah untuk aktiviti tidak bermoral itu dilakukan secara tersembunyi.

Sebagai tanda, setiap pintu rumah berkenaan diletakkan kerusi dan tiada penjaga di bahagian depan.

Tinjauan mendapati kebanyakan wanita di situ warga asing termasuk Indonesia, Vietnam, China dan Bangladesh. Bagaimanapun, ketika tinjauan hanya seorang wanita Bangladesh berada di satu daripada tiga kedai dikunjungi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata, pihaknya memantau kehadiran dan aktiviti warga asing di pusat bandar raya termasuk menerima aduan orang ramai.

“Kebanyakan aduan berulang di lokasi sama yang menjadi tumpuan warga asing.

“Kami buat serbuan di lokasi berkenaan jika risikan mendapati ada asas terhadap aduan terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.

Katanya, biasanya warga asing itu kembali ke lokasi berkenaan selepas pihak berkuasa melakukan serbuan.

“Kawasan itu masih ada bekalan elektrik dan air, selain tidak disita menyebabkan mereka mudah kembali,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan JIM memeriksa 65 bilik sebuah bangunan di Jalan Pudu dipercayai disewa warga asing.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud dipetik berkata, 435 warga asing diperiksa dalam serbuan di bangunan 11 tingkat itu.

Seramai 271 warga asing berusia antara 21 hingga 60 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Mereka terdiri 197 wanita dan 74 lelaki dari Vietnam, Myanmar, China, Indonesia, Bangladesh, Nepal, Pakistan dan India.

Difahamkan, wanita warga asing itu dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran di bangunan terbabit, manakala ada lelaki warga asing tinggal di situ, selain didapati melanggan pelacur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 5:30 AM