Kawasan loji memproses gas sebuah syarikat petroleum di Santong, Paka yang dilaporkan yang terbakar, malam tadi. Foto Rosli Ilham
Rosli Ilham 
am@hmetro.com.my

 

KAKITANGAN syarikat petroleum yang bertugas di loji pemprosesan gas dekat Santong, Paka di Dungun cemas selepas loji terbabit terbakar, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, menara penyulingan (distillation tower) yang dipercayai mengandungi gas terbakar dipercayai dipanah petir.

Kebakaran itu menyebabkan pihak pengurusan loji terpaksa melakukan kerja pengosongan gas dalam menara penyulingan itu.

Sehingga kini, kerja memadam kebakaran masih dilakukan membabitkan anggota dari Bomba dan Penyelamat (BBP) Paka yang dibantu pasukan bomba PETRONAS.

Difahamkan, kebakaran itu tidak membabitkan kecederaan kepada kakitangan yang bertugas.

Usaha untuk mendapatkan pengesahan daripada Ketua BBP Paka Penolong Penguasa Bomba Mohd Rezuan Adnan tidak berjaya kerana beliau dikatakan bersama anggotanya berada di loji berkenaan bagi melakukan kerja memadam kebakaran terbabit.

Penduduk dari Kampung Santong, Nik Hamzah Nik Man, 56, berkata, kejadian ribut petir itu berlaku kira-kira 7 petang.

Menurutnya, dia dan ahli keluarganya tidak keluar dari rumah kerana bimbang melihat cahaya kilat menyambar.

"Saya kemudiannya mendengar bunyi siren jentera bomba yang laju memasuki loji terbabit kira-kira 8 malam sebelum melihat api besar di atas menara setinggi kira-kira 50 meter itu.

"Sebaik melihat kejadian itu, saya bimbang kebakaran itu akan merebak ke penempatan penduduk memandangkan loji itu adalah tempat memproses gas terbesar.

“Namun, saya bersyukur apabila dimaklumkan kebakaran itu tidak membabitkan kecederaan kepada kakitangan loji itu dan tidak merebak ke penempatan penduduk,” katanya sambil berharap kebakaran dapat dikawal segera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 2:09 AM