Sultan Mizan diiringi Dr Ahmad Samsuri berkenan bersalaman dan mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji di majlis Pelepasan Jemaah Haji Musim 1440H/2019 ke Tanah Suci di TH Hotel & Convention Centre, Kuala Nerus, malam tadi. Foto Ghazali Kori
Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


SULTAN Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin minta semua bakal jemaah haji yang terpilih menjadi tetamu Allah di Makkah sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Baginda turut menasihatkan jemaah haji sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan oleh Tabung Haji (TH) dan Kementerian Kesihatan supaya sentiasa berada dalam keadaan baik sepanjang di Tanah Suci.

“Beta merakamkan ucapan tahniah dan menyeru semua bakal jemaah haji bersyukur kerana terpilih sebagai tetamu Allah SWT untuk mengerjakan ibadat haji tahun ini.

“Semoga semua yang terpilih menunaikan Rukun Islam kelima tahun ini memberi tumpuan sepenuhnya dalam melaksanakan ibadat haji,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan pertama seramai 150 bakal jemaah haji terdiri daripada 66 lelaki dan 84 wanita di TH Hotel & Convention Centre di Kuala Nerus, malam tadi.

Turut berkenan berangkat mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji ialah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengurus Besar Simpanan dan Pengeluaran TH Mohd Ridzuan Wahi, Pengarah TH negeri Datuk Mohyen Mosman, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Yahya Ali dan Setiausaha Kerajaan negeri Datuk A Rahman Yahya.

Penerbangan pertama hari ini, kumpulan bakal jemaah haji itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 1 pagi ini.

Kesemua bakal jemaah haji termasuk 150 dari Terengganu dijangka berlepas dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Abdul Aziz di Madinah pula pada 5.10 pagi.

Seramai 1,350 bakal jemaah haji dari seluruh negeri ini terpilih untuk menunaikan ibadat haji tahun ini dan sebanyak sembilan penerbangan disediakan TH.

Sultan Mizan turut mengucapkan syabas kepada TH atas usaha dan komitmen menambah baik kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji setiap tahun.

“Beta berharap usaha memantapkan pengurusan haji akan diteruskan supaya pengurusan haji negara sentiasa berada di tahap cemerlang dan menjadi contoh kepada negara Islam di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 1:29 AM