Kejadian lima remaja menendang dan menumbuk seorang pelajar lelaki di sebuah rumah kosong di Miri. Foto Ihsan Pembaca.
Kandau Sidi
kandau@bh.com.my


SIASATAN terperinci sedang dijalankan berhubung kes lima remaja membuli seorang pelajar sekolah menengah berusia 13 tahun di bandar raya ini, yang rakaman videonya tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada 8 Julai lalu dan laporan polis dibuat oleh bapa kepada seorang suspek yang turut menyerahkan anak lelakinya untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, bapa suspek berkenaan membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh seorang lagi anaknya berhubung penyebaran video memaparkan insiden buli berkenaan di laman sosial.

“Rakaman video itu tular di laman sosial sejak semalam. Mangsa dipercayai ditumbuk dan ditendang sekumpulan lima remaja lelaki termasuk seorang pelajar sekolah menengah pada 8 Julai lalu.

“Bapa mangsa membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh anaknya berhubung video tular dalam WhatsApps yang menyaksikan mangsa sedang dibuli, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Meng Seah berkata, kes itu adalah yang pertama dilaporkan di Miri tahun ini dan mangsa takut membuat laporan kerana diugut oleh lima suspek berkenaan.

“Mangsa sudah dihantar ke Hospital Miri untuk pemeriksaan dan rawatan, manakala kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 11:42 PM