Jambatan Angkat akan dibuka sepenuhnya 1 Ogos ini. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


JAMBATAN angkat atau ‘drawbridge’ yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di muara Sungai Terengganu akan dibuka semula kepada orang ramai 1 Ogos ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri sudah menambah baik beberapa kelemahan dalam aspek keselamatan dan kelancaran trafik ketika ia dibuka untuk tempoh pengujian sistem selama dua minggu dari 2 hingga 17 Jun lalu.

“Setakat ini, tiada masalah dan semuanya berjalan lancar. Bermula 1 Ogos ini, ia sudah boleh dibuka kepada semua kenderaan seperti yang dirancang sebelum ini dan kita boleh menyaksikan trafik yang lebih baik selepas itu.

“Mengenai nama dan pelancaran rasmi pula, kita masih belum putuskan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kad Sejahtera Terengganu 2019 di Wisma Darul Iman hari ini.

Pembinaan jambatan unik itu adalah sebahagian daripada projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) membabitkan kos RM248 juta dan menjadi mercu tanda ikonik baharu yang pertama seumpamanya di tanah air serta Asia Tenggara.

Jambatan sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir itu adalah komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Mula dibina pada Ogos 2014, jambatan angkat terpanjang di dunia itu yang disokong dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan serta boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal, bakal menjadi satu lagi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 6:19 PM