SYED Saleh (kiri) menunjukkan aplikasi E-TAIB yang dilancarkan bersama seorang jemaah yang mencuba kemudahan itu. FOTO Yusri Abdul Malek
Yusri Abdul Malek
yusrimalek@hmetro.com.my


“TALIAN ini memudahkan saya untuk bertanya sebarang kemusykilan mengenai ibadah haji dan umrah,” kata Zainal Abidin Deraman, 40-an, jemaah haji yang menggunakan aplikasi E-TAIB atau Talian Ibadat Haji Elektronik yang dilancarkan kelmarin.

Beliau berkata, penggunaan kemudahan baharu itu memudahkan jemaah menyimpan jawapan atau kemusykilan ditanyakan sebelum ini sebagai rujukan ketika melakukan ibadah.

Katanya, ia membolehkan jemaah bertanya pelbagai soalan dengan hanya menaip menggunakan WhatsApp (WA) berbanding jika menggunakan panggilan telefon seperti sebelum ini.

Majlis pelancaran E-TAIB itu disempurnakan Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman. Turut hadir, Pengarah Operasi Bimbingan Tengku Aziz Raja Abdullah.

Bagi Emir Izhar Mohd Rashid, 29, dari Bandar Baru Bangi, Selangor, talian elektronik itu begitu mudah dan boleh dilayari menggunakan telefon bimbit.

“Kalau ada kemusykilan, terus je taip dalam WA dan jawapan boleh dapat segera.

“Bagi saya dan isteri, ia memudahkan kami bagi memastikan ibadah dikerjakan adalah mengikut apa yang sepatutnya," katanya.

Sementara itu, Syed Saleh berkata, pelancaran E-TAIB itu adalah satu lagi perkhidmatan tambahan dalam program bimbingan.

Katanya, program bimbingan kepada jemaah sudah diadakan sejak awal lagi di tanah air dan ketika di Tanah Suci melalui syarahan dan ceramah.

“Program bimbingan dalam talian ini sudah dimulakan sejak lapan tahun lalu apabila jemaah boleh menghubungi pusat panggilan bimbingan pada bila-bila masa dan pembimbing ibadah haji akan memberi jawapan ke atas pertanyaan atau kemusykilan jemaah,” katanya.

Beliau berkata, E-TAIB adalah dalam bentuk WA yang membolehkan jemaah menaip atau jika soalan itu panjang, boleh menggunakan mesej suara.

“Pada masa sama, jemaah boleh menghantar gambar atau video mengenai kemusykilan yang mahu ditanya bagi memudahkan pembimbing faham.

“Ia interaktif antara jemaah dan pembimbing," katanya.

Syed Saleh berkata, semua soalan dan jawapan itu boleh disimpan dalam telefon serta boleh dijadikan rujukan atau dikongsi dengan rakan sebilik.

Beliau berkata, operasi E-TAIB adalah antara 5 pagi hingga 12 tengah malam sebelum ia beroperasi 24 jam sebelum dan selepas dua minggu wukuf.

Menurutnya, empat pembimbing akan ditugaskan menjawab jemaah.

“Kami turut menyediakan tiga pakar rujuk," katanya.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 5:59 PM