Dr Mahathir memegang poster menyokong rang undang-undang pindahan had umur 18 tahun untuk layak mengundi di Bangunan Parlimen. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


SERAMAI 7.8 juta pengundi baharu akan dimasukkan ke dalam Daftar Pemilih sehingga 2023 jika pendaftaran secara automatik dilaksanakan bersama dengan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan juga menganggarkan jumlah pengundi pada 2023 meningkat lebih daripada 50 peratus menjadikan jumlah pengundi 22.7 juta berbanding 14.9 juta pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, dengan itu demokrasi di negara ini akan dikuatkan oleh tenaga dan akal fikiran anak muda yang bakal diberi peluang untuk bersama-sama berganding bahu mencorak negara.

Katanya, secara umum kesedaran politik di kalangan belia sudah meningkat dengan pemikiran serta kematangan golongan berkenaan terlihat lebih ke hadapan, sesuai dengan kemajuan yang dinikmati negara.

“Golongan terbabit terdedah kepada maklumat yang luas, pengaruh media massa dan kemajuan teknologi maklumat menjadikan mereka pintar, matang berfikir, berdikari dan lebih bermaklumat.

“Kerajaan kini percaya mereka mampu mengimbangi keperluan menuntut ilmu dan kemahiran dengan kesedaran politik serta tanggungjawab mencorakkan masa hadapan negara yang lebih cerah,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain menurunkan umur warganegara yang layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pindaan itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Menurut Dr Mahathir, cadangan untuk menurunkan had umur mengundi dan had umur calon seawal 18 tahun adalah juga selaras dengan amalan demokrasi dunia.

Ini kerana kata beliau, selepas 1970-an, negara maju seperti United Kingdom, Eropah Barat, Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Perancis dan Australia sudah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Ia diikuti India, Pakistan, New Zealand dan semua negara di Amerika Latin, Afrika dan Asia pada era 1980-an dan yang terakhir mengikuti jejak menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun ialah negara Jepun pada 2016.

Dr Mahathir berkata, ketika ini, hanya Malaysia dan Singapura di ASEAN serta beberapa negara lain seperti Kuwait, Oman, Cameroon, Lubnan, Samoa dan Tonga yang masih mengekalkan had umur mengundi 21 tahun.

“Ini bermakna, semua negara Komanwel lain yang mengamalkan demokrasi alaWestminster, termasuklah India sudah menetapkan umur 18 tahun sebagai usia kelayakan mengundi.

“Hampir semua negara di Asia juga sudah melaksanakan had umur mengundi 18 tahun, terkini beberapa negara di Eropah juga mula menurunkan had umur mengundi yang lebih rendah daripada 18 tahun kepada 16 tahun.

“Berikutan perkembangan itu, golongan belia di Malaysia terdorong untuk turut diberi hak mengundi seawal usia 18 tahun,” katanya.

Dr Mahathir berkata, bagi melaksanakan dan menguatkuasakan pindaan berkenaan, beberapa pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 perlu dibuat.

Selain itu, bagi membolehkan penurunan had umur calon Dewan Undangan Negeri dilaksanakan, kerajaan negeri disaran untuk membuat pindaan terhadap peruntukan berkaitan dalam Perlembagaan Negeri atau Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing.

“Dewan yang mulia ini menyeru dan berkeyakinan penuh bahawa kerajaan negeri akan menyokong pindaan ini dan akan turut meminda peruntukan yang berkaitan.

“Justeru itu, saya menyeru semua Ahli Yang Berhormat di dewan yang mulia ini, agar sama-sama merealisasikan hasrat kita semua untuk membuka peluang kepada anak-anak muda menyumbang tenaga dan idea demi memperkasakan demokrasi negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 4:54 PM