FOTO hiasan
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Pertahanan akan mengerahkan beberapa aset strategik milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam memastikan kedaulatan perairan negara terpelihara daripada pencerobohan nelayan Vietnam.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya melihat ada keperluan untuk mengerahkan beberapa aset strategik ke kawasan tertentu bagi membendung pencerobohan nelayan asing terutama dari Vietnam.

“Ya, memang ada keperluan dan kita akan berusaha untuk tempatkan aset strategik itu.

“Saya akan bawa ke Kabinet dan bangkitkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk lihat apa keperluan yang perlu kita lakukan,” katanya dalam sidang media khas sempena Eksesais KERISMAS 26/2019 dan Eksesais Taming Sari 19/2019 di Markas Wilayah Laut I, Tanjung Gelang, Kuantan, hari ini.

Harian Metro dalam laporan ekslusif, baru-baru ini, mendedahkan pengakuan orang tengah yang membuka mulut sikap tamak pengusaha bot tempatan memberi manfaat kepada nelayan Vietnam.

Pengakuan itu disokong dengan tinjauan wartawan Skuad Khas Harian Metro yang melihat banyak bot klon di beberapa wilayah di Vietnam.

Bot klon berkenaan bebas menangkap ikan di perairan negara selepas membeli lesen daripada tauke nelayan tempatan dengan bayaran RM40,000 hingga RM100,000 selain bayaran bulanan antara RM8,000 hingga RM12,000.

Kegiatan ini kebal undang-undang Malaysia dengan bantuan dalang rakyat Vietnam di negara ini dan ‘orang dalam’ pihak berkuasa.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian di Dewan Rakyat minggu lalu dan disentuh 32 Ahli Parlimen.

Sementara itu, Mohamad berkata, pihaknya akan mengutarakan mengenai beberapa keperluan pertahanan lain seperti persenjataan dan kapal dalam mesyuarat Kabinet yang akan digunakan di sempadan perairan negara bagi memastikan soal pencerobohan nelayan asing dapat dibanteras secara menyeluruh.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan juga akan membangkitkan isu ini dalam mesyuarat antara menteri pertahanan ASEAN untuk melihat kerjasama antara kerajaan ke kerajaan (G to G) boleh dilaksana.

“Isu sempadan perairan, pencerobohan nelayan kita dan mereka jadi tajuk utama, tapi nelayan mereka lebih ramai. Kita akan bincang secara serius terutama dengan Thailand dan Vietnam.

“Kita utamakan soal maritim, khazanah negara dan zon ekonomi dalam perbincangan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 4:17 PM