KEADAAN kereta mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my


DUA guru wanita Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) bernasib baik apabila terselamat selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke parit yang dipenuhi air di Simpang 3, Jalan Parit 4 Timur, Sungai Besar, Sabak Bernam, semalam.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, kedua-dua mangsa berusia 22 tahun yang menaiki kereta jenis Perodua Axia dari arah Ban Kenal menuju ke Sungai Besar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Deputi Superintendan, Lim Chee Khoon berkata, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan selepas mengelak motosikal yang membelok ke simpang tiga jalan itu.

“Kejadian itu mengakibatkan kereta mangsa meluncur ke hadapan lalu terjunam ke dalam parit,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Chee Khoon berkata, semua mangsa berjaya keluar dari kereta terbabit dengan bantuan dari orang awam yang melalui kawasan kejadian.

“Salah seorang daripada mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Sungai Besar.

“Kedua-dua mereka dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 3:25 PM