RAKAMAN video FB live Ainul dibawa bersiar menaiki kereta sorong bayi di luar sebuah hospital di London, kelmarin.
Fairuz Zaidan
fairuzaidan@nstp.com.my


MELAKA: Satu rakaman video Facebook (FB) live Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang dibawa bersiar-siar menaiki kereta sorong bayi oleh ibu bapanya di luar sebuah hospital di London, United Kingdom (UK), kelmarin mencuri perhatian netizen.

Rakaman berdurasi 38 minit 48 saat yang tular di media sosial itu nyata mengubati kerinduan jutaan rakyat Malaysia yang sentiasa menantikan perkembangan baharu daripada bayi perempuan berusia lebih 10 bulan yang masih mendapatkan rawatan susulan di London.

Menerusi rakaman itu, bapa Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, turut berkongsi perkembangan bayinya.

Ahmad Safiuddin mengakui berasa amat gembira dengan perkembangan ditunjukkan dan rawatan diterima anak kesayangannya.

“Terima kasih semua sebab doakan Ainul. Semoga doa yang baik itu Tuhan kembalikan semula pada kalian. Insya-Allah, apabila semua selesai di sini (London), Ainul akan balik (ke Malaysia).

“Sekarang biar Ainul rehat di sini, habiskan rawatan dia. Selepas itu, kita akan jumpa Insya-Allah,” katanya dalam rakaman berkenaan yang turut ditemani isterinya, Nurul Erwani Zaidi, 24.

Setakat jam 5 petang semalam, video yang dimuat naik melalui FB Ahmad Safiuddin sudah ditonton lebih 55,000 netizen, dikongsikan oleh 648 orang, mendapat 484 komen serta lebih 6,000 tanda suka.

Dalam rakaman video sama tiga beranak berkenaan dilihat didekati oleh rakyat Malaysia di London yang tidak melepaskan peluang bertanyakan khabar Ainul Mardiah, selain dilihat mengambil gambar bersama.

“Maaf kerana jarang kemas kini perkembangan Ainul kerana agak sibuk di hospital. Walaupun Ainul dijaga jururawat, masih ada yang perlu belajar dengan jururawat. Telefon bimbit pun silent (disenyapkan).

“Hari ini (kelmarin), khas untuk rakyat Malaysia yang nak tengok Ainul,” katanya yang dibenarkan membawa Ainul Mardiah bersiar-siar selama sejam setiap hari.

Pada 10 Jun lalu, bayi berkenaan yang dilahirkan pada 13 Ogos 2018, selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram dikenali Germ Cell Tumor selepas bertarung nyawa lima jam di sebuah Hospital Kanak-Kanak di London.

Pembedahan membabitkan perbelanjaan mencecah RM1 juta itu berjaya direalisasi sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway, selain bantuan Dr Nur Amalina Che Bakri.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 5:50 AM