Mazlan (tengah) menunjukkan barang rampasan pada sidang media mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di IPK Kuala Lumpur. Foto Aswadi Alias
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


PASANGAN kekasih ditahan selepas dipercayai aktif mengedar dadah di Lembah Klang sejak beberapa bulan lalu dalam serbuan di sebuah kedai serbaneka di Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur, pada 11 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, lelaki tempatan berusia 29 tahun dan kekasihnya warga Vietnam, 24, itu ditahan selepas pemeriksaan terhadap mereka menemui dadah jenis heroin seberat 19 gram.

“Hasil soal siasat dilakukan, polis kemudiannya membuat serbuan di sebuah kondominium di Jalan 6/92B, Cheras dan menemui serbuk dadah jenis ekstasi seberat 2,195 gram serta ketamin seberat enam gram.

“Ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap wanita Vietnam itu yang bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) didapati positif dadah jenis methaphetamin, manakala lelaki berkenaan pula negatif dadah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, berdasarkan jumlah rampasan itu, dadah berkenaan boleh dibekalkan kepada 2,300 penagih.

“Kami turut merampas sebuah Perodua Myvi yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk mengedar dadah dengan keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dadah serta kereta dianggarkan bernilai RM236,220.

“Kedua-dua suspek direman selama dua hari bermula 11 Julai sehingga esok (hari ini) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam serbuan berasingan, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di pondok pengawal sebuah kondominium di Jalan 1/141 Lebuhraya Sungai Besi pada 4.50 petang 11 Julai lalu.

“Soal siasat terhadap suspek membawa kepada penemuan dadah jenis methaphetamin seberat 23,496 gram di sebuah unit kondominium berkenaan.

“Kami turut menemui sepucuk pistol bersama 28 peluru selain menyita sebuah Proton Satria Neo serta wang tunai berjumlah RM7,000,” katanya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamin.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dalam serbuan ini boleh dibekalkan kepada 47,0000 penagih.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.19 juta membabitkan dadah, kereta dan wang tunai.

“Suspek direman selama enam hari bermula 12 hingga 17 Julai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 12:39 AM