Balqis Jazimah Zahari
am@hmetro.com.my


SEBUAH premis memproses dan menjual arak di Gunung Hijau, Pusing, Batu Gajah, diarahkan tutup serta merta berikutan berada dalam keadaan kotor dan menjijikkan.

Operasi mengejut bersama beberapa penguat kuasa ke premis itu, hari ini, turut menemui bangkai tikus terapung pada salah satu tong berisi minuman berkenaan yang didakwa pemilik premis akan dibuang kemudian.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan berkata, pihaknya bertindak mengeluarkan notis tutup dalam tempoh 14 hari terhadap premis itu bagi menjalankan kerja pembersihan.

“Pemilik sudah 30 tahun beroperasi dan memiliki lesen daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Namun, Jabatan Kesihatan negeri bertindak mengeluarkan notis mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan pemilik premis mempunyai masa 14 hari untuk menjalankan kerja pembersihan,” katanya yang turut serta dalam operasi itu.

Sivanesan berkata, pegawainya akan melakukan tinjauan ke lokasi berkenaan semula selepas tamat tempoh diberikan dan notis tutup akan dilanjutkan sekiranya tahap kebersihan masih belum memuaskan.


BUDAK dua tahun meneguk arak hingga tular di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca.

“Selepas tempoh berkenaan, jika didapati pemilik premis masih ingkar kes ini boleh dibawa ke mahkamah,” katanya.

Terdahulu, Sivanesan turut menyertai operasi bersepadu Jabatan Kesihatan negeri, JKDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi penguat kuasa melakukan pemeriksaan di premis penyediaan minuman beralkohol di sekitar Kawasan Industri Pengkalan Maju.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 465 premis diperiksa dan 28 sampel diambil berikutan kes keracunan methanol pada 28 April lalu dengan lima sampel daripadanya dipositif methanol.

“Pada masa sama, sebanyak 18 notis kesalahan dikeluarkan manakala 2,164 produk arak bernilai RM10,297 dirampas,” katanya.

Sivanesan berkata, sehingga 7 Julai lalu, sebanyak 29 orang disahkan menghidapi keracunan methanol tetapi tiada kes kematian dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 4:18 PM