BAYI lelaki yang ditemui dalam kotak di sebuah gerai burger. FOTO ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


BAYI lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui di gerai burger di Sungai Merab Tengah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, unit kereta peronda polis (MPV) Sepang menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung kejadian itu, 5 pagi tadi.

“Sebaik tiba di lokasi 10 minit kemudian, anggota polis menemui bayi berkenaan yang masih hidup diletakkan di dalam kotak.

“Anggota polis bertugas menghubungi pihak Hospital Serdang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut.

Siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 2:21 PM